Sepang: Demi mengaut keuntungan, terdapat pemilik perniagaan sekitar kawasan 16 Sierra di sini didakwa mengubah suai premis mereka menjadi bilik penginapan ala 'rumah sarang burung'.

Tindakan dilakukan secara tidak sah itu mengundang kritikan penduduk, malah ada yang bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini terutama jika mengancam nyawa.

Pekerja swasta, Mohd Yusri Majid, 44, berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan terjamin, lebih-lebih penghuni yang menyewa bilik terbabit.

Katanya, premis yang diubah suai menjadi bilik sewa sempit itu didakwa tiada kemudahan asas bahkan mengabaikan penyediaan laluan kecemasan yang penting ketika berlaku kebakaran.