BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Russia berhasrat memperluaskan peluang pengajian khususnya dalam bidang perubatan kepada pelajar Malaysia melalui penyediaan lebih banyak tajaan biasiswa sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun depan.
Duta Besar Russia ke Malaysia, Naiyl M Latypov, berkata pendidikan dan perubatan menjadi antara bidang utama yang perlu diperkukuhkan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara, malah mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dan Russia.
Katanya, kerajaan Russia akan menyediakan 4,000 peluang biasiswa kepada pelajar antarabangsa mulai tahun depan, dengan harapan lebih ramai rakyat Malaysia dapat menyertai program itu.
"Untuk berada dalam jumlah ini, pelajar perlu mengambil bahagian dalam pertandingan berkaitan pengetahuan dan pemenang akan diberikan peluang melanjutkan pengajian selama lima hingga enam tahun di Russia," katanya ketika berucap sempena lawatan rasmi ke Hospital Bukit Mertajam (HBM), di sini, yang berusia 136 tahun.






