Pengarah SPRM Kedah Nazli Rasyid Sulong mengesahkan tangkapan seorang anggota polis yang disyaki terima sogokan lindung kegiatan pengedaran dadah. (Gambar Facebook)ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang anggota polis disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM15,000 daripada seorang pengedar dadah, dua tahun lalu.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 30-an berkenaan dipercayai menerima sogokan itu sebagai balasan melindungi kegiatan pengedaran dadah serta menghalang tindakan penguatkuasaan undang-undang.

Sumber itu memberitahu, anggota polis terbabit ditahan kira-kira 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

“Siasatan awal mendapati dia disyaki melakukan perbuatan itu sepanjang 2024 dan dipercayai menerima wang rasuah antara RM200 hingga RM2,500 setiap bulan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” menurut kenyataan itu.