KUALA LUMPUR: Siapa sangka lagu patriotik Standing In The Eyes Of The World yang kini menjadi antara karya ikonik negara pernah ditolak sebagai lagu tema Sukan Komanwel (SUKOM) 1998 di Kuala Lumpur.

Penolakan itu bukan sahaja mengejutkan penciptanya, Datuk Wah Idris, malah membuatkan komposer berkenaan menitiskan air mata selepas mengharungi perjalanan panjang untuk merealisasikan karya berkenaan.

Wah, 69, berkata, dia sudah berusaha mendapatkan kerjasama beberapa komposer terkenal dunia sebelum mencapai kata sepakat dengan komposer Amerika Syarikat (AS), David Gates.

Katanya, usaha mendapatkan Andrew Lloyd Webber dan anggota kumpulan legenda The Beatles, Paul McCartney, bagaimanapun tidak membuahkan hasil.