SEOUL: Korea Utara hari ini mengecam dakwaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu terbabit dalam kecurian mata wang kripto bernilai AS$6 bilion (RM24.37 bilion) susulan penggodaman platform Binance.

Adik perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, iaitu Kim Yo-jong, menyifatkan dakwaan itu sebagai 'provokasi politik serius' terhadap negaranya.

Dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, Yo-jong berkata dakwaan FBI itu tidak berasas dan bukan perkara baharu kerana AS sebelum ini turut menuduh Korea Utara terbabit dalam penggodaman platform Bybit tahun lalu.

"Ia adalah provokasi politik serius terhadap Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) apabila AS mengelirukan masyarakat antarabangsa dengan menggambarkan seolah-olah semua jenayah siber yang berlaku di pelbagai negara adalah perbuatan kami," katanya.