PETALING JAYA: Skuad hoki lelaki kebangsaan perlu memperbaiki ketajaman penyudah jika mahu melangkah ke final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 selepas gagal memanfaatkan peluang ketika menguasai perlawanan.

Ketua jurulatih negara, Brendon Carolan mengakui pemainnya sepatutnya mampu menambah jaringan ketika mendahului 1-0, namun kegagalan menyempurnakan beberapa peluang termasuk pukulan sudut penalti menyebabkan Jepun berjaya bangkit dan mencatat kemenangan 2-1, kelmarin.

“Kami sebenarnya menguasai permainan dan sedang mendahului 1-0. Kami turut memperoleh beberapa pukulan sudut penalti, tetapi gagal menyempurnakannya. Sepatutnya kami mampu menambah jaringan.

“Kami perlu memastikan peluang untuk menewaskan pasukan lawan disempurnakan. Ketika mendahului 1-0, kami sepatutnya mampu menambah satu atau dua lagi jaringan,” katanya.