SUNGAI PETANI: Empat lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan berpakat menjalankan aktiviti penipuan dalam talian bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas tertuduh memaklumkan tidak memahami bahasa Melayu ketika pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Empat tertuduh ialah Rajibul Islam, 32; Muhammad Tawheed, 26; Forkan Ali, 23; dan Mohamad Jahir Uddin, 20.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan pakat jahat dengan bersetuju menjalankan aktiviti penipuan dalam talian di sebuah premis di tingkat satu, Jalan Pahlawan, Taman Lagenda Indah, di sini, pada 9.30 malam, 21 Oktober lalu.