PAS selaku pembangkang perlu mengkritik kerajaan namun pendekatan melabel pihak lawan mengundang kritikan pelbagai pihak.PETALING JAYA: PAS disaran menggunakan pendekatan hujah berfakta bagi menjaga imej parti dan keharmonian masyarakat, berbanding melabel pihak lawan dengan istilah-istilah agama.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata melabel pihak lawan merupakan 'politik murahan', terutama apabila istilah agama digunakan untuk menyerang mereka.

Syaza Shukri."Rakyat bijak. Kita tahu label-melabel ini 'cheap politics' untuk menakutkan rakyat dan kononnya membabitkan agama dalam isu politik, tetapi hakikatnya hanya perbezaan pendapat atau haluan," katanya kepada FMT.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjejaskan hubungan sesama masyarakat dan silaturahim dalam kalangan umat Islam.