MELAKA: Pakatan Harapan (PH) akan memberi tumpuan kepada pendekatan politik khidmat dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 berbanding kelantangan suara ketika mendekati pengundi.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kekuatan budi dan bakti kepada masyarakat akan menjadi antara penekanan PH sepanjang kempen pilihan raya.

“Kita, macam yang disebut oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, banyak fokus kita adalah pada politik khidmat.

“Jadi, kita akan lebih menyantuni. Kita tidak akan berpaksikan kepada kelantangan suara tetapi lebih kepada kekuatan budi dan bakti seperti yang kita boleh saksikan dalam program-program Datuk Azman Abdidin (calon PH kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput),” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih di sini, hari ini.