LOSAIL: Marc Marquez berpeluang merangkul gelaran dunia MotoGP kelapan pada Grand Prix (GP) Qatar hari ini selepas memenangi perlumbaan pecut yang berlangsung sengit di Litar Antarabangsa Lusail, hari ini.
Pelumba Ducati itu kini memiliki kelebihan 49 mata ke atas pencabar terdekatnya, Jorge Martin, selepas berjaya memenuhi sasaran untuk mengutip lima mata lebih banyak daripada pelumba Aprilia berkenaan dalam aksi pecut.
Martin, yang kembali beraksi selepas mengalami patah pergelangan tangan kanan, turut mempamerkan tunggangan cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, namun gagal menghalang Marquez daripada membuka peluang awal memburu kejuaraan.
Marquez yang memulakan perlumbaan dari petak kedua memintas pelumba petak utama, Marco Bezzecchi, pada pusingan pertama dalam perlumbaan yang terpaksa dimulakan semula selepas rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia, terkeluar daripada litar akibat insiden dengan Fermin Aldeguer.









