KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) bersetuju melaksanakan kajian undang-undang bagi merangka dasar dan draf Rang Undang-Undang Khairat untuk mengawal selia entiti amanah serta pendanaan awam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, langkah itu penting bagi memastikan dana yang diamanahkan diurus secara telus dan bertanggungjawab.

Mesyuarat JKKTN memberi tumpuan kepada usaha membanteras ketirisan wang awam dan salah guna kuasa, khususnya membabitkan Badan Berkanun Persekutuan.

"Saya tegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang hendaklah disertai pembudayaan integriti dan tatakelola baik secara berterusan dalam sektor awam, swasta serta masyarakat," katanya menerusi Facebook.