PEMBANGUNAN kepemimpinan belia juga perlu memberikan belia pendedahan langsung kepada proses pembuatan dasar, tadbir urus awam dan kerencaman dalam memenuhi keperluan masyarakat bagi menyediakan mereka menghadapi realiti pentadbiran negara, selain diajar dengan latihan teori dan aktiviti kepemimpinan di bilik seminar.
Atas asas inilah Program Felo Perdana diperkenalkan kerajaan pada 2013 sebagai satu bentuk pementoran dan latihan secara langsung bersama kepimpinan tertinggi negara. Sehingga 2023, seramai 819 felo menyertai program berkenaan.
Program Felo Perdana sejak awal dirangka sebagai platform kepemimpinan berprestasi tinggi membolehkan anak muda menjalani penempatan bersama anggota Jemaah Menteri dan kepemimpinan kanan perkhidmatan awam. Ia bukan sekadar program latihan industri biasa, tetapi memberikan peserta akses kepada realiti pentadbiran, proses pembentukan dasar serta budaya kerja kerajaan.






