PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyediakan peruntukan bagi melantik warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah berasrama bagi mengurangkan beban guru.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan sekiranya kerajaan mahu meneruskan sistem persekolahan berasrama.
“Suka atau tidak, jika kita masih percaya dan mahu teruskan sistem sekolah berasrama, kerajaan mesti menyediakan peruntukan untuk lantik warden sepenuh masa bekas tentera untuk kurangkan beban guru dan CCTV di semua sekolah asrama,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata, pelantikan warden sepenuh masa dapat mengurangkan beban tugas guru, khususnya dalam aspek pengawasan dan keselamatan pelajar selepas waktu persekolahan.










