PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak menetapkan sebarang kuota penghantaran pulang bagi pelarian Myanmar ke negara asal sebaliknya berharap agar semuanya dapat dihantar pulang pada masa depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penghantaran pulang itu akan diteruskan selepas jumlah 5,000 pelarian dipersetujui dan selesai dihantar, malah ia bukan operasi yang terhenti setakat angka tersebut.
“Kita tak ada tetapkan kuota (penghantaran pulang). Jadi, berapa ramai, kalau boleh kita nak semua balik.
“Selepas daripada habis 5,000 itu, kita akan terus buat penghantaran. Ini operasi yang berterusan, bukannya setakat habis 5,000 dah habis. Maksudnya kita akan berterusan,” katanya pada sidang operasi khas di sini hari ini.










