SEREMBAN – Tidak sampai beberapa jam berada di tapak jualan, muruku dibawa seorang suri rumah sempena sambutan Dee­pavali habis terjual.

Bagi P. Pauline, 36, sambutan menggalakkan itu dianggap rezeki buat keluarganya hasil usaha membantu suami, S Charles, 40, meneruskan perniagaan keluarga Kacang Putih Warisan Rembau yang berusia lebih 40 tahun.

Menurutnya, dia sudah 10 tahun bersama suami mengusahakan perniagaan berkenaan yang diasaskan bapa mentuanya, sebelum diambil alih suaminya.

Katanya, sebagai suri rumah, dia turut membantu suami dalam semua urusan termasuk menyediakan dan menghasilkan sendiri pelbagai jenis makanan ringan untuk dijual.