MELAKA: Sambutan Deepavali tidak menghalang calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek untuk terus turun padang berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Jegan K. berkata, beliau memilih untuk terus mendekati pengundi meskipun masyarakat Hindu meraikan perayaan itu bersama keluarga serta saudara-mara.

Menurutnya, dengan hari pengundian pada 14 November semakin hampir, beliau perlu memanfaatkan masa yang ada untuk mendapatkan sokongan penduduk di kawasan berkenaan.

“Semua orang kata sekarang Deepavali tetapi bagi saya, Deepavali saya pada 14 November. Jadi, saya perlu bekerja keras juga,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Gadek di sini.