DOHA: Malaysia sedang membangunkan pelan nasional bagi peralihan infrastruktur maklumat kritikal negara kepada kriptografi pascakuantum sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan siber, dan mempersiapkan negara menghadapi ancaman baharu susulan perkembangan pengkomputeran kuantum.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan syarikat telekomunikasi bagi mewujudkan ruang penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Beliau berkata, inisiatif itu membolehkan pihak berkepentingan menguji penyelesaian secara bersama serta mempercepat peralihan kepada kriptografi tahan kuantum dengan cara yang selamat dan terselaras.









