KOTA BHARU: Seramai 59 ahli pasukan sokongan psikologi akan digerakkan bagi memberikan sokongan emosi dan psikologi kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan sepanjang musim tengkujuh.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh, berkata pasukan itu terdiri daripada kakitangan pelbagai agensi, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau berkata, mereka bukan sahaja akan memberikan sokongan psikologi kepada mangsa banjir, malah menganjurkan pelbagai aktiviti bagi membantu mangsa menangani tekanan emosi akibat berpindah.
"Ini bagi membantu mengurangkan tekanan emosi yang dialami mangsa banjir sepanjang berada di pusat pemindahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.









