Madrid: Legenda Real Madrid, Raul Gonzalez memulakan cabaran baharu dalam karier kejurulatihannya apabila dilantik sebagai pengendali kelab divisyen dua Sepanyol, Real Oviedo, sehingga Jun 2028.

Pelantikan bekas penyerang berusia 49 tahun itu diumumkan Oviedo, Isnin, selepas kelab berkenaan memecat Julian Calero yang gagal membantu pasukan mencapai prestasi diharapkan.

Oviedo yang tersingkir daripada La Liga musim lalu kini menduduki tangga kesembilan liga divisyen dua Sepanyol.

Raul yang pernah mengendalikan pasukan simpanan Real Madrid dari 2019 hingga 2025 berkata, beliau mahu membentuk pasukan yang mengutamakan bakat pemain selain menuntut komitmen tinggi sepanjang perlawanan.