SERAMAI 33 pelajar dan staf Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak turun padang membantu penduduk Kampung Sungai Pinang Besar, di sini membersihkan kediaman yang terjejas akibat banjir menerusi misi pasca Banjir Pulau Pangkor, baru-baru ini.
Misi itu memberi tumpuan kepada kerja pembersihan rumah dan kawasan sekitar termasuk mengalihkan barangan, menyapu lantai, mencuci serta menjemur kelengkapan kediaman bagi membantu penduduk memulihkan keadaan rumah masing-masing.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata, misi berkenaan mencerminkan peranan universiti dalam membentuk mahasiswa yang prihatin, bertanggungjawab dan bersedia berkhidmat kepada masyarakat.








