KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) bercadang mengambil alih Shenton 101 Pte Ltd bagi membangunkan semula Shenton House di Singapura sebagai pembangunan bercampur dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) S$1.60 bilion (RM5.16 bilion).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, IOIPG memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Boulevard View Pte Ltd, memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap pemegang saham utama IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng dan Shenton 101 untuk memperoleh keseluruhan modal saham terbitan Shenton 101 pada harga S$1 (RM3.21).
Menurutnya, Boulevard View juga akan, bagi pihak Shenton 101, melangsaikan sepenuhnya atau memastikan semua pendahuluan pemegang saham tertunggak yang terhutang oleh Shenton 101 kepada Lee diselesaikan dan dilepaskan sepenuhnya pada tarikh penyelesaian.






