PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya menangguhkan sebarang aktiviti rekreasi air di kawasan sungai, jeram, air terjun dan tali air sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan memaklumkan, nasihat itu dikeluarkan berikutan keadaan cuaca tidak menentu, termasuk hujan lebat dan berterusan di beberapa kawasan yang berpotensi menyebabkan peningkatan paras air secara mendadak.Menurut kenyataan itu, keadaan berkenaan juga boleh mengakibatkan arus deras dan fenomena kepala air yang berisiko mengancam keselamatan serta meragut nyawa."Orang ramai dinasihatkan supaya menangguhkan aktiviti rekreasi air termasuk mandi-manda, berenang, berkelah dan berkhemah di kawasan sungai, jeram, air terjun serta tali air sepanjang tempoh MTL."Orang ramai juga diminta sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," menurut kenyataan itu pada Selasa.Dalam pada itu, JBPM mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah fenomena kepala air yang boleh berlaku dalam tempoh singkat.Menurutnya, orang ramai perlu segera bertindak sekiranya terdapat perubahan keadaan air dan tidak menunggu sehingga arus menjadi deras sebelum meninggalkan kawasan berisiko."Keselamatan nyawa hendaklah sentiasa menjadi keutamaan."Sekiranya berlaku kecemasan, orang ramai diminta menghubungi talian kecemasan 999 dengan segera dan memberikan maklumat lokasi kejadian kepada pihak penyelamat," menurut kenyataan itu.Dalam pada itu, JBPM turut menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga mangsa kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 9 November lalu.Dalam kejadian itu, seramai lapan individu dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika melakukan aktiviti rekreasi dan pendakian di sekitar kawasan berkenaan.Bagaimanapun, seramai 26 individu yang terkandas di sekitar lokasi kejadian berjaya diselamatkan pasukan penyelamat.JBPM turut berharap seluruh ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi tragedi berkenaan.Menurut kenyataan itu, kejadian berkenaan sekali lagi menjadi peringatan bahawa aktiviti rekreasi di kawasan sungai dan hutan mempunyai risiko keselamatan tinggi, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu sepanjang musim monsun.