ISTANBUL: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa dua kapal tangki minyak terbakar selepas berlaku letupan ketika cuba melalui "laluan tidak dibenarkan" di Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita separa rasmi Tasnim, Tentera Laut IRGC, berkata kedua-dua kapal tangki itu dihentikan di koridor perkapalan yang dianggap "tidak dibenarkan" sebelum berlaku letupan dan kebakaran besar.
Menurut kenyataan itu, sebuah daripada kapal yang juga kapal tangki minyak bersaiz sangat besar terkena periuk api laut sebelum meletup.
Kapal tangki kedua, yang menurut dakwaan IRGC menerima bantuan daripada pesawat pejuang tentera Amerika Syarikat (AS) mengalami kejadian yang tidak diperincikan ketika cuba melalui laluan larangan itu secara "rahsia", menyebabkan kapal berkenaan terkandas dan terbakar.









