KUALA LUMPUR: Status penguatkuasaan pengesahan umur media sosial dan sekatan perjalanan ke luar negara antara tumpuan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Wong Shu Qi (PH-Kluang) bertanyakan Menteri Komunikasi mengenai status penguatkuasaan pengesahan umur media sosial sejak 1 Jun lalu serta tindakan terhadap platform yang belum melaksanakan pengesahan serta status peralihan enam bulan pada sesi soal jawab.
Chow Yu Hui (PH-Raub) pula meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri berhak menyekat perjalanan ke luar negara kerana tunggakan Notis Bayaran Ansuran Cukai (CP500).
Beliau juga ingin tahu bila amalan itu mula dilaksanakan, bilangan orang disekat, asas perundangannya serta sama ada sekatan berdasarkan anggaran cukai yang belum dimuktamadkan adalah sah dan munasabah.








