GEORGE TOWN: Kerajaan tidak seharusnya menjadikan rombakan Kabinet sebagai jalan penyelesaian kepada kelemahan pentadbiran negara, sebaliknya perlu memberi peluang kepada rakyat menentukan semula kepimpinan melalui pembubaran Parlimen.
Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, mandat baharu perlu dikembalikan kepada rakyat bagi membolehkan mereka memilih kerajaan yang diyakini mampu membawa perubahan kepada negara.
Menurutnya, rombakan Kabinet bukanlah penyelesaian kepada segala kelemahan pentadbiran dan dasar kerajaan yang berlaku ketika ini.
”Rakyat sedang berdepan dengan pelbagai tekanan hidup, khususnya kos sara hidup yang tinggi dan beban ekonomi yang semakin dirasai.




