Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) perlu terus mempergiat usaha memperkukuh keselamatan termasuk membanteras kesalahan yang mengancam nyawa pengguna jalan raya, kata bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata JPJ perlu meneruskan penguatkuasaan tegas terhadap kenderaan lebih muatan, selain membanteras kesalahan lumba haram dan pelanggaran had laju meskipun berlaku perubahan kepimpinan di Kementerian Pengangkutan (MOT).

"Usaha memerangi kenderaan lebih muatan bukan agenda individu atau menteri, sebaliknya satu misi nasional yang perlu diteruskan kerana membabitkan keselamatan dan nyawa manusia.

"Saya nak JPJ buktikan bahawa mereka ini salah. Perang terhadap lebih muatan ini, dengan atau tanpa saya, akan diteruskan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.