Kuala Lumpur: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperkukuh penyampaian perkhidmatan secara digital menerusi pelancaran aplikasi mudah alih MySaham MITI bagi memudahkan pelabur Bumiputera mendapatkan maklumat serta menguruskan urusan berkaitan Saham Khas Bumiputera (SKB).
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, aplikasi itu diperkenalkan bagi memperluas akses pelabur Bumiputera kepada peluang penyertaan dalam pemilikan ekuiti korporat negara, khususnya membabitkan syarikat yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia.
Beliau berkata, menerusi inisiatif SKB, MITI menyelaras penawaran saham khas Bumiputera bagi membolehkan pelabur yang layak mengambil bahagian dalam penawaran itu.








