Manila: ASEAN akan menubuhkan hab industri kreatif serantau di Filipina bagi membantu perniagaan kreatif di Asia Tenggara menembusi pasaran global.

Dalam deklarasi yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 pada Ahad, pemimpin blok itu menugaskan Pusat Kecemerlangan ASEAN bagi Industri Kreatif (ACE-CI) untuk menjalankan penyelidikan, menggalakkan inovasi dan memperkukuh perlindungan harta intelek.

Pemimpin ASEAN menggesa negara anggota memanfaatkan pusat itu bagi membantu usahawan kreatif meningkatkan kemahiran serta memperoleh akses yang lebih baik kepada pembiayaan dan teknologi.

Mereka turut menyeru supaya peluang yang lebih luas disediakan kepada perniagaan kecil, syarikat pemula niaga, wanita, golongan muda, pekerja bebas dan komuniti setempat.