Kuala Lumpur: Badan bukan kerajaan (NGO), Masyarakat Sivil (MASIV) berharap inisiatif lebih tegas berlandaskan undang-undang antarabangsa dapat dikenakan ke atas pemerintah Myanmar berhubung isu etnik Rohingya.
Ia susulan pelbagai usaha dilaksanakan ketika ini dilihat tidak begitu berkesan, malah berlaku lambakan pelarian etnik Rohingya yang menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat negara ini hingga mendatangkan pelbagai isu berbangkit.
Aktivis, Mohd Azhan Mohd Adnan atau dikenali ramai sebagai Abe Hae berkata, keprihatinan dan kebaikan yang pernah ditunjukkan kepada mereka kini sudah mula dieksploitasi oleh pelarian berkenaan.
Menurutnya, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama membuktikan keresahan masyarakat bukan berpunca daripada isu perkauman, sebaliknya timbul apabila golongan pelarian berkenaan dilihat semakin 'besar kepala'.








