Kuala Lumpur: Pemain boling negara Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam terlepas peluang meraih pingat emas apabila tewas dengan perbezaan hanya tujuh jatuhan pin dalam acara individu lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Asia Ke-28 di Doha, hari ini.

Tun Hakim terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila mencatat 1,383 jatuhan pin menerusi enam permainan pada pertandingan yang berlangsung di Qatar Bowling Federation Bowling Center.

Pingat emas dirangkul pemain dari Kuwait, Abdulrazzaq Mohammad yang mengumpul 1,390 jatuhan pin, manakala pemain Hong Kong Michael Mak Cheuk Yin meraih gangsa dengan 1,381 jatuhan pin.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara Muhammad Rafiq Ismail menduduki tempat keenam dengan 1,377 jatuhan pin, diikuti rakan senegara Muhd Hazim Alihanafiah di tempat ketujuh dengan 1,367 jatuhan pin, manakala Izz Naqiuddin Putera Islahuddin berada di kedudukan ke-13 dengan 1,331 jatuhan pin.