MANILA – Reformasi Parlimen Malaysia melibatkan pemindahan kuasa pentadbiran daripada Perdana Menteri serta kerajaan kepada Parlimen dan Speakernya sekali gus memperkukuh kebebasan badan perundangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkan penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen sebagai reformasi besar yang melibatkan kesediaan pihak eksekutif melepaskan kuasa ke atas pentadbiran Parlimen.

“Akta Perkhidmatan Parlimen membawa maksud bahawa kuasa yang sebelum ini berada di tangan Perdana Menteri dan kerajaan diserahkan kepada Dewan Rakyat,” katanya pada majlis makan malam yang diadakan sempena lawatan kerja beliau ke Filipina bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini malam ini.