KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan pemantauan menggunakan dron serta peralatan pemantauan kualiti udara tambahan bagi menyiasat perbezaan ketara bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) antara Stesen Batu Muda dan Stesen Cheras, di sini.
Menurut kenyataan JAS hari ini, langkah itu diambil susulan bacaan IPU di Stesen Pengawasan Kualiti Udara Batu Muda yang kekal pada tahap tidak sihat, melebihi 150 sejak dua hari lalu, berbanding stesen berhampiran di Cheras yang hanya merekodkan bacaan kira-kira 60.
Peralatan tambahan dipasang berhampiran Stesen Batu Muda untuk memperoleh data sokongan bagi tujuan analisis teknikal, dengan dapatan awal akan dimaklumkan selepas pemantauan selama 24 jam dan semakan teknikal selesai.









