Songkhla: Tiga pelancong Malaysia dikenakan denda berjumlah 12,000 Baht (anggaran RM1,447) oleh polis Thailand selepas didapati memandu secara menghalang lalu lintas dan melakukan ubah suai kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang di Jalan Phetkasem, Hat Yai, di sini awal pagi Ahad.
Timbalan Inspektor Trafik Balai Polis Hat Yai, Leftenan Polis Prut Pattanapran berkata ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 26 hingga 30 tahun itu bersama seorang warga Thailand diarahkan hadir ke balai polis selepas pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai tindakan mereka.
Menurutnya, kejadian itu berlaku sekitar 12.30 pagi, melibatkan tiga kereta bernombor pendaftaran Malaysia berwarna biru, merah dan putih serta sebuah kereta hitam milik warga Thailand yang bergerak dalam satu barisan di jalan berkenaan.









