ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki dipercayai menceroboh bangunan Wisma Darul Aman sebelum mengacukan pisau kepada pengawal keselamatan dalam kejadian di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi itu, suspek yang berusia 45 tahun dikatakan memasuki kawasan bangunan pentadbiran kerajaan negeri dengan menunggang motosikal tanpa berhenti untuk menjalani pemeriksaan di pos pengawal keselamatan.

“Pengawal keselamatan yang menyedari kejadian itu kemudian mengejar dan menahan lelaki terbabit bagi mendapatkan penjelasan mengenai tujuan kehadirannya di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau kecil berwarna hitam dari poket seluar sebelah kanan sebelum menunjukkannya ke arah pengawal keselamatan dan rakan sekerjanya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.