ALOR SETAR: Seorang lelaki ditahan polis selepas memasuki kawasan Wisma Darul Aman, di sini tanpa berhenti sewaktu melalui pemeriksaan pos pengawal keselamatan sebelum mengeluarkan sebilah pisau.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi ini, suspek berusia 45 tahun yang menunggang skuter Yamaha Ego Gear berwarna kelabu dipercayai memasuki kawasan bangunan berkenaan seorang diri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, berkata pengawal keselamatan berusia 29 tahun yang menyedari kejadian itu kemudian mengejar dan menahan suspek untuk bertanya tujuan kehadirannya.

Bagaimanapun, katanya, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau kecil berwarna hitam dari poket seluar sebelah kanan sebelum menunjukkannya ke arah pengawal keselamatan terbabit dan rakan sekerjanya.