GEORGE TOWN: Ketidakpuasan hati terhadap cara pemanduan seorang lelaki menjadi punca seorang lagi lelaki cedera ditoreh menggunakan pisau dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan Batu Lancang, di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.07 petang itu, mangsa berusia 54 tahun mengalami kecederaan berupa luka torehan pada bahagian lengan kanan dan perut akibat terkena pisau yang digunakan suspek.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Abdul Rozak Muhamad berkata, suspek merupakan lelaki tempatan berusia 30 tahun yang bertindak mencederakan mangsa dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan cara pemanduan lelaki berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu kembali mendapat perhatian selepas satu rakaman video mengenainya tular di media sosial hari ini.