SINGAPURA: Megaspeed International berkata bekas pengarahnya, Alice Huang, meninggalkan syarikat itu lebih setahun lalu dan kini tidak lagi mempunyai sebarang peranan dalam firma pusat data berkenaan.

Megaspeed yang berpangkalan di Singapura sedang diteliti susulan dakwaan membantu menyalurkan cip Nvidia ke China.

Syarikat itu disyaki membantu firma China memintas kawalan eksport Amerika Syarikat (AS) dengan membeli cip Nvidia bagi pusat datanya di Asia Tenggara sebelum menyalurkannya ke China.

Media AS mengenal pasti Alice sebagai individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan perisikan China dan dilaporkan menjalinkan hubungan dengan pengasas bersama Nvidia, Jensen Huang.