KUALA LUMPUR: Lebih 500 entiti membabitkan syarikat atau individu yang menjalankan kegiatan pelancongan tanpa lesen sah dan sedang dipantau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Pemerhatian BH menerusi pautan 'Senarai entiti yang berada dalam pemantauan kerana melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482)' setakat 15 Oktober lalu, yang dipaparkan di laman web MOTAC, puluhan daripada agensi terbabit menawarkan perkhidmatan umrah, manakala selebihnya menjalankan pelbagai aktiviti pelancongan membabitkan destinasi dalam dan luar negara termasuk di Eropah.

Antara kesalahan dikenal pasti ialah pelanggaran Seksyen 21 iaitu tindakan menawarkan khidmat seorang pemandu pelancong, seksyen 5 (2), individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan pelancongan tanpa lesen sah selain peraturan 6 (i), (ii) dan (iii) yang memperuntuk sekiranya berlaku apa-apa perubahan atau pembatalan kontrak pelancongan misalnya pembatalan jadual penerbangan, pemegang lesen hendaklah dengan serta-merta membayar balik kepada pelanggan mengikut terma ditetapkan.