Kota Melaka: Selesai melakukan aktiviti joging dan menikmati sarapan pagi, seorang pesara kerajaan, Jusop Karim tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong, di sini, pagi ini.

Jusop, 80, berkata, dia yang memulakan pagi dengan berjoging mengambil kesempatan singgah di pusat mengundi berkenaan sebelum meneruskan urusan lain.

"Saya joging dulu lepas tu singgah minum kemudian baru mengundi pagi ni.

"Saya pun sudah umur 80 tahun, sudah berapa kali pilihan raya dan masih teruja menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di SK Seri Duyong, di sini, pagi ini.