KUALA LUMPUR: Serangan siber bertubi-tubi yang melanda negara sejak kebelakangan ini, termasuk terhadap beberapa sistem kewangan dan perbankan, dikenal pasti menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencuri data penting rakyat Malaysia.
Perkara itu didedahkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), yang menyatakan dalang insiden itu masih tidak disahkan sepenuhnya, namun tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak bukan negara (non-state actors) yang menjalankan kegiatan itu secara terancang.
Motif utama serangan berkenaan dipercayai bertujuan mendapatkan akses data, mencuri maklumat rakyat Malaysia dan memperoleh keuntungan.
Ketua Eksekutif NACSA, Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin, berkata serangan siber yang dilaporkan baru-baru ini dilakukan secara global dengan organisasi di Malaysia menjadi antara sasaran yang mahu ditembusi menggunakan perkembangan keupayaan AI.








