KUALA LUMPUR: Aktiviti membeli saham berharga rendah dijangka kembali ke Bursa Malaysia minggu depan memandangkan penilaian saham menjadi lebih menarik susulan penurunan baru-baru ini, kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut di bawah paras 1,600 pada minggu yang baru berakhir ini, mencatatkan penurunan lima hari dagangan berturut-turut, menjadikannya semakin menghampiri zon terlebih jual.

Bagaimanapun, Thong menjangkakan FBM KLCI diniagakan stabil antara paras 1,580 hingga 1,600 minggu depan dengan pembelian berpilih dijangka menyokong lantunan semula teknikal.

"Walaupun ketidaktentuan luaran mungkin terus menyebabkan dagangan kekal tidak menentu, kami menjangka aktiviti membeli saham pada harga rendah muncul dalam pasaran memandangkan penilaian menjadi semakin menarik," katanya kepada Bernama.