MAJURO: Dua pulau terpencil di Lautan Pasifik dikenal pasti sebagai antara ekosistem paling terpelihara di dunia kerana masih belum terusik oleh aktiviti manusia.

Pulau Bikar dan Bokak yang terletak berhampiran Kepulauan Marshall itu disifatkan saintis sebagai kawasan liar yang masih mengekalkan keadaan semula jadinya.

Kajian terbaharu mendapati kedua-dua pulau berkenaan berkemungkinan antara ekosistem paling utuh yang masih wujud di rantau itu, malah mungkin di seluruh dunia.

Pakar ekologi marin dari Universiti Hawaii, Dr Alan Friedlander, berkata penyelidikan itu menyediakan penilaian asas ekologi menyeluruh yang pertama terhadap kawasan perlindungan marin baharu di kedua-dua pulau berkenaan, merangkumi ekosistem dari udara, daratan hingga ke laut dalam.