PETALING JAYA: Polis menahan empat individu termasuk seorang warga asing selain merampas 64,100 liter diesel bernilai RM439,085 yang disyaki diseleweng dalam serbuan di sebuah premis di kawasan perindustrian di Kedah, Rabu lalu.

Serbuan menerusi Op Taring Bravo 1 itu dilakukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.

Komander WCB/PSK, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, kesemua individu yang ditahan dipercayai mempunyai peranan sebagai pemandu lori, pekerja dan pemilik premis.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi membawa kepada rampasan pelbagai peralatan dan kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.