PETALING JAYA: Sebanyak tiga projek pembangunan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Kecemerlangan Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) bersempena Anugerah QUEST 2026 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Anugerah QLASSIC diperkenalkan CIDB bagi mengukur dan menilai mutu hasil kerja pembinaan berdasarkan piawaian industri yang ditetapkan.

Tiga projek PR1MA yang menerima pengiktirafan bagi Projek Kerajaan ialah Residensi Menggatal di Sabah (82 peratus) dan dua projek di Kedah iaitu Residensi Junjong (79 peratus) serta Residensi Simpang Empat Fasa 1 (78 peratus).

Pengiktirafan ini mencerminkan usaha berterusan PR1MA dalam memastikan pembangunan kediaman mampu milik memenuhi standard kualiti pembinaan yang ditetapkan, sekali gus memberikan keyakinan kepada pembeli terhadap mutu kediaman yang disediakan.