MELAKA: Polis Melaka akan meningkatkan kawalan keselamatan di beberapa kawasan dikenal pasti sebagai kawasan panas antaranya Seri Bendahara, Seri Negeri dan Istana Melaka bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini selepas pilihan raya negeri berakhir.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata lokasi yang merupakan premis penting dalam pentadbiran kerajaan negeri itu dijangka menjadi tumpuan kumpulan penyokong parti politik selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 diumumkan.

Sehubungan itu, beliau berkata lebih 1,000 anggota polis akan ditempatkan di beberapa lokasi penting termasuk di sekitar kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keamanan dan keadaan stabil selepas pilihan raya negeri berakhir hari ini.