PETALING JAYA: Data Peratusan Keluar Mengundi (VTO) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sebanyak 37.37 peratus atau 250,076 pemilih telah keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat pukul 12 tengah hari ini.
Berdasarkan pemantauan data peratusan itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam menunjukkan jumlah keluar mengundi tertinggi setakat ini iaitu 42.17 peratus manakala DUN Bandar Hilir mencatatkan jumlah terendah iaitu 32.21 peratus.
Seramai 675,166 pengundi biasa layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian ini bagi menentukan wakil rakyat yang bakal mewakili kawasan masing-masing.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini peratusan keluar mengundi menerusi paparan Voter Turnout Online di laman rasmi SPR, https://dashboard.spr.gov.my. – UTUSAN







