SHAH ALAM – Pembubaran Parlimen sebelum hujung tahun ini wajar dipertimbangkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekali gus menamatkan 'drama' peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, langkah itu sesuai memandangkan penggal pentadbiran kerajaan kini sudah memasuki tahun keempat dan sudah tiba masanya mandat baharu diserahkan kepada rakyat.Kata beliau, negara tidak memerlukan polemik politik berpanjangan, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada pentadbiran yang mengutamakan keselesaan dan kepentingan rakyat."Dalam menguruskan negara ini, kita tidak perlu ada banyak ‘drama’ kerana ia mesti berlandaskan kepada keselesaan rakyat dalam pentadbiran kita."Sudah sampai masanya untuk kita memberikan mandat semula kepada rakyat. Ia bukanlah satu perkara yang pelik ataupun janggal disebabkan kita sudah sampai empat tahun (penggal kerajaan)," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat berbelah bahagi dalam membuat keputusan tentang peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.Mengulas mengenai situasi itu, Mohd Razlan berpandangan, terdapat kemungkinan Anwar sedang mempertimbangkan pembubaran Parlimen tanpa perlu membuat keputusan terhadap peletakan jawatan Ahli Parlimen Seremban itu."Anthony adalah ketua (peneraju) kepada DAP. Kalau ketua DAP meletak jawatan, ia umpama hari ini DAP itu tidak ada ketua dalam kerajaan. Jadi, seeloknya bubar saja Parlimen," ujarnya.Mohd Razlan turut menegaskan, mana-mana pemimpin yang sudah membuat janji untuk meletakkan jawatan sepatutnya menunaikan komitmen tersebut tanpa memberikan pelbagai alasan.