MAURICIO Pochettino mengakui keputusan meninggalkan tugas selaku ketua jurulatih Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil alih Manchester United antara keputusan paling sukar sepanjang karier pengurusannya.Pengendali berusia 54 tahun dari Argentina itu tidak dapat menahan sebak ketika mengucapkan selamat tinggal kepada arena bola sepak AS beberapa jam selepas kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengumumkan pelantikannya bagi menggantikan Michael Carrick yang dipecat.Pochettino akan memulakan tugas baharunya di Old Trafford pada 18 November ini dengan cabaran besar menanti selepas United merekodkan permulaan terburuk dalam kempen domestik sejak 40 tahun lalu sehingga kini terperosok di zon penyingkiran EPL.Bekas pengendali Tottenham Hotspur, Paris Saint-Germain (PSG) dan Chelsea itu difahamkan menandatangani kontrak selama dua tahun setengah yang akan menyaksikannya kekal bersama The Red Devils sehingga penghujung musim 2028/29."Sepanjang berada di sini, kami banyak belajar daripada anda semua dan negara yang menakjubkan ini. Saya fikir ini antara keputusan paling sukar dalam karier saya," katanya pada sidang media di Fayetteville, Georgia pada Jumaat.Pochettino yang membimbing AS mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia tahun ini terlebih dahulu akan mengendalikan dua aksi Liga Negara-Negara CONCACAF menentang Haiti pada Sabtu dan Selasa depan sebelum berangkat ke England.Beliau mengakui tidak pernah memikirkan kemungkinan kembali ke EPL ketika menandatangani lanjutan kontrak bersama Persatuan Bola Sepak AS pada Ogos lalu, namun peluang mengendalikan kelab sebesar Manchester United terlalu sukar untuk dilepaskan."Saya tidak pernah mengatakan mahu kembali ke Liga Perdana. Bukan selalu peluang seperti ini hadir dalam karier anda, lebih-lebih lagi bersama kelab seperti Manchester United. Sukar untuk menolak apabila peluang itu muncul," katanya.Persatuan Bola Sepak AS dijangka menerima pampasan sekitar AS$10 juta susulan pemergian Pochettino, selain bayaran tambahan bagi menampung pelepasan barisan kejurulatihannya.