IPOH – Seorang lelaki berusia 57 tahun yang menunggang sebuah motosikal maut selepas terperosok di bawah kereta dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 284, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat sini pada pukul 4.50 petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan maut itu melibatkan dua buah kereta iaitu sebuah Nissan Grand Livina, sebuah Honda Odyssey dan sebuah motosikal Modenas Elegan.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati seorang penunggang motosikal terperosok di bawah kereta Honda dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan awam.
“Sementara itu, pembonceng motosikal, seorang wanita berusia 58 tahun yang terjatuh ke tengah jalan mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.









