KUALA LUMPUR – Kehadiran dua figura prolifik industri perfileman Indonesia, Christine Hakim dan Reza Rahadian yang sanggup terbang dari Jakarta khusus untuk menyaksikan pementasan Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), menjadi detik cukup bermakna buat pengarahnya, Puan Sri Tiara Jacquelina.

Lebih istimewa, Christine yang pernah menghidupkan watak Bayan dalam filem epik Puteri Gunung Ledang (2004) akhirnya berpeluang menyaksikan sendiri karya berkenaan kembali ke pentas selepas tidak berkesempatan menonton pementasan muzikal pertamanya pada 2006.

Tiara menyifatkan kunjungan kedua-dua sahabat baiknya itu sebagai penghargaan dan sumber inspirasi besar kepada seluruh produksi, terutama Christine yang mempunyai hubungan istimewa dengan perjalanan PGL sejak awal pembikinannya.